PARA TETAMU

Tuesday, June 18, 2013

BILA KEGANASAN ITU TIDAK MENYAKITKAN


 
Photo credit: activities.fit.edu
KITA YANG MULA
SUKA KEGANASAN

FILEM Man of Steel kini ditayang di pawagam. Filem adiwira bikinan Hollywood itu adalah versi Superman terkini. Sebelum ini terdapat berpuluh-puluh versi Superman yang diaksikan oleh beberapa orang pelakon iaitu Kirk Alyn, George Reeves, Dean Cain, Brandon Routh, Tom Welling,  Christopher Reeves dan yang terkini, Henry Cavill.

Filem ini dikatakan lebih banyak memaparkan babak keganasan. Malah, lebih banyak kemusnahan daripada filem Iron Man 3 dan juga Transformers 3. Tentu sekali ia memaparkan lebih banyak adegan kehancurkan daripada filem-filem adiwira Amerika yang lain seperti The Avengers, Thor, Fantastic Four, The Flash, Captain America dan tidak ketinggalan siri The Batman.

Hollywood semakin suka memaparkan keganasan. Siri Superman bukan lagi kisah hero yang menyembunyikan identiti sebagai wartawan, bercinta dengan rakan setugas; Lois Lane, menyelamatkan penumpang keretapi daripada berlanggar dengan menggunakan cahaya laser di mata yang mencairkan besi atau menyelamatkan dunia daripada makhluk asing tanpa membinasakan apa sahaja di sekelilingnya.

Superman pada hari ini melakukan kesemuanya dengan menghancurkan apa sahaja untuk keamanan dunia meskipun dalam proses itu, bumi dirosakkan. Tindakan matlamat yang menghalalkan cara ini adalah pendekatan menyelesaikan masalah anutan Amerika. Justeru itu, sama ada secara simbolik mahupun bawah sedar warga Hollywoodnya, maka itulah yang dipaparkan tanpa rasa bersalah.

Betapa pun, tindakan mengeksport keganasan melalui filem sudah mendarahdaging di kalangan pembikin filem di Amerika. Saya percaya, kajian psiko-grafik pihak pemasaran Hollywood menunjukkan bahawa para peminat filem seluruh dunia sukakan keganasan. Kerana itu, tidak hairanlah jika cerita lukisan DC Comics dan Marvel Comics yang boleh dibaca oleh sesiapa sahaja terutamanya kanak-kanak kini sudah tidak semestinya selamat untuk ditonton oleh kanak-kanak.

Malah, keseronokan Hollywood mengganaskan filem-filem dongeng yang dahulunya dipaparkan dalam bentuk kartun Walt Disney, penuh dengan aksi melucukan dengan lagu-lagu yang membuai jiwa kanak-kanak kini sudah tidak lagi begitu. Lihat sahaja trend mereka menggarap versi baharu filem-filem dongeng.

Filem kartun Hensel and Gretel(2011), sebuah kisah dongeng dua orang kanak-kanak yang diperangkap nenek kebayan di dalam rumah yang diperbuat daripada gula-gula dan cokelat kini sudah bertukar kepada Hensel and Gretel(2013), kisah dua beradik di usia 20an yang membunuh sekumpulan nenek kebayan menggunakan mesingun!

Pelbagai versi terkini filem-filem Snow White(2012), Snow White and The Huntsman(2012) dan Alice in Wonderland(2010) banyak sekali memaparkan keganasan berbanding dengan filem-filem Snow White (filem kartun terbitan 1993) dan Alice in Wonderland(versi-versi kartun terbitan 1951 & 1981). Filem Little Red Riding Hood(2011) lebih ganas daripada animasi The Little Red Riding Hood yang terbit pada tahun yang sama. Pendek kata, versi mutakhir akan dipersembahkan dengan ramuan keganasan.  

Ganas sudah menjadi suatu kebiasaan. Kita, yang dibiasakan dengan adegan sebegitu dalam filem hingga tidak gentar lagi menonton keganasan di dunia realiti. Dalam laman sosial Facebook mahupun di dalam YouTube, ramai sekali mereka yang mempunyai akaun, memuatnaik insiden-insiden buli, rompakan, pergaduhan malah peristiwa tragis rogol untuk tatapan umum.

Dan, jumlah mereka yang share atau menontonnya boleh mencapai ke angka hingga ratusan ribu. Ini menandakan jumlah mereka yang menyukai paparan mengenai keganasan amat ramai. Memang keganasan itu berpunca daripada rasa kekecewaan, pengalaman keganasan di rumah atau di kawasan sekeliling. Makanan, minuman, pergaulan dengan mereka yang kasar dan penuh provokasi juga akan meningkatkan tindakan agresif.

Namun, bila kita lihat di sekeliling, suasana yang boleh menimbulkan keganasan itu hampir tiada. Pergilah di kompleks membeli-belah atau tempat awam yang lain dan perhatikan gelagat orang ramai hingga sejam ~ kita tidak dapat lihat keganasan di situ. Tetapi, pergilah menonton di pawagam, menatap televisyen mahupun komputer ~ segala bentuk keceluparan, provokasi dan kebiadapan dapat kita tatap. Malah, mungkin ada di antara kita yang tumpang semangkuk.

Jika selama ini anak Malaysia yang sopan santun dikatakan boleh berubah menjadi ganas tatkala berada di belakang stereng, kini anak Malaysia yang penuh beradab itu juga akan berubah menjadi ganas bila duduk di hadapan televisyen dan komputer. Dan, menonton keganasan sambil mengunyah bertih jagung di pawagam juga punyai ciri mereka yang sukakan keganasan.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.6.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, June 11, 2013

KENAPA PILIH JALAN SUKAR?


 
Photo credit: androsym.com
YANG MANA SUSAH, YANG MANA SENANG

MANUSIA di zaman batu mencari makan apabila lapar. Mereka memburu binatang untuk dibunuh dan dimakan. Jelas, mereka makan untuk hidup. Manusia hari ini pula makan bukan setakat kerana kelaparan. Malah, sebagai spesis yang kian kompleks, kita makan kerana pelbagai sebab.

Ada di antara kita makan kerana sudah tiba waktunya ~ time makan. Ada yang makan kerana menemankan kawan, makan kerana hendak mencuba sesuatu hidangan baru yang baru diperkenalkan di skrin televisyen. Ada juga di antara kita yang makan untuk mencuba resipi yang kita atau teman kita masak. Ada yang makan sesuatu kerana mengikut trend atau untuk menjaga kesihatan. Pendek kata,  manusia hari ini makan kerana banyak sebab lain selain daripada kerana lapar.

Begitu juga, kita pada hari ini bukan tidur semata-mata kerana kita mengantuk. Sebaliknya, kita tidur kerana sudah tiba waktunya, tidur kerana jika kita tidak tidur sekarang, kita tidak akan cukup tidur bila tiba waktu bangun. Kita juga tidur kerana kita hendak bekerja pada hari esok. Jika kita tidak tidur, kita akan mengantuk di tempat kerja.

Apa yang kita pakai juga semakin kompleks. Kita bukan setakat berpakaian untuk menutup aurat dan melapik tubuh dari kesejukan atau panah mentari. Pada hari ini, kita bukan setakat berpakaian, malah memilih pakaian. Kita ada pakaian untuk ke pejabat, untuk bersukan, untuk menonton, untuk berparti, pakaian petang, pakaian malam dan pakaian tidur.

Kita yang seharusnya membayar wang parkir yang tidak sampai seringgit, sebaliknya mengambil tindakan untuk tidak membayar langsung. Apabila surat saman tiba, kita terpaksalah ke pejabat Pihak Berkuasa Tempatan, mengambil angka giliran, menanti dan akhirnya membayar sepuluh kali ganda yang sepatutnya kita bayar. Bayaran bertambah, masa pula terbazir secara sia-sia.

Kereta pada asasnya adalah kegunaan untuk membawa kita ke tempat yang kita mahu pergi. Tetapi, lebih banyak masa kita ambil untuk mempertimbangkan bentuk dan gajetnya daripada fungsi asal tujuan kita membelinya. Kita ada komputer yang mempercepatkan kerja. Tetapi kerja kita jadi lambat kerana masa terbuang bila kita gunakan ia untuk fungsi selain daripada mempercepatkan kerja.

Telefon mudah alih yang kita gunakan untuk menghubungi seseorang dan mengirim pesanan ringkas, kini mempunyai pelbagai fungsi yang tidak sampai separuh kita perlu dan apatah lagi gunakan. Telefon pintar juga membawa kerja bersama kita walau di mana pun kita berada. Ketika bila kita sebenarnya bercuti? Jika dahulu, kita bimbang ketinggalan bas kerana takut lewat tiba ke pejabat. Kini, kita takut lewat sampai ke pejabat kerana risaukan telefon mudah alih kita yang pada bila-bila masa akan kehabisan bateri.

Pada hari ini, kita semakin sofistikated kerana membuat pendekatan kompleks untuk hal-hal yang asas dan mudah.  Seolah-olah, kita mencari jalan jauh untuk melakukan sesuatu yang sepatutnya senang. Mengapa kita tidak fikir lagi bahawa kehidupan yang mudah dan asas itulah yang sebenarnya kita perlukan?

Bukankah pada asasnya kita hanya perlukan air, makanan, pakaian dan tempat tinggal? Kita juga perlukan maklumat, pendidikan dan kesihatan selain daripada perhubungan dengan manusia. Mengapa hidup kita yang mudah itu menjadi kompleks?

Memang benar, cara mudah untuk berehat ialah dengan menonton televisyen di rumah. Ia lebih ringkas daripada pergi ke tempat peranginan yang berkilometer jauhnya. Tetapi, sebelum dapat menonton TV, kita perlu membeli televisyen, mendapatkan bekalan elektrik, melanggan saluran, membuat bayaran sebelum dapat berlunjur sambil menonton di depan televisyen. Tetapi, bila kita mendapat jalan mudah untuk berehat, kita sukarkan kembali dengan memilih berpuluh-puluh saluran sedangkan kita hanya benar-benar suka menonton tidak lebih sepuluh saluran.

Benar. Ada masanya kita mahukan yang mudah. Ada ketikanya kita mahukan sedikit cabaran dengan melakukan sesuatu yang sedikit sukar. Namun, di manakah garis pemisah di antara yang mudah dan yang susah? Seolah-olah kini kita sudah selesa memilih jalan yang susah daripada jalan yang senang. Walau apapun, asalkan kita sentiasa ingat dan tahu yang kita mengawal kehidupan sendiri, ia sudah cukup baik.

Yang penting, kita tahu di manakah keutamaan, yang mana patut didahulukan atau kemudiankan. Jangan jadi seperti anak saudara saya yang berusia empat tahun setiap kali dia ke bilik air. Dia akan menggosok giginya selepas mandi, bukannya sebelum mandi. Bila dia menggosok gigi setelah mandi, dia terpaksa mandi semula kerana ubat gigi sudah tumpah ke dadanya. Dia terpaksa buat kerja berulang kerana silap keutamaan.

Apakah ini petanda yang dia bakal menjadi seorang lagi manusia yang suka melakukan cara yang susah untuk sesuatu yang senang?

Tuesday, June 4, 2013

PERANG AKHIR ZAMAN


 
Photo credit: mynewshub.my
BAGAIMANA
MERUNTUHKAN PERSEPSI

PM Datuk Seri Najib, menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa telah berlaku penipuan besar-besaran dalam PRU13. Ucapannya di perhimpunan bulanan JPM kelmarin merujuk kepada berita yang mengatakan terdapat beribu-ribu warga Bangladesh yang didatangkan sebagai pengundi hantu dalam pilihanraya lalu.

Dalam sebuah kenyataan lain, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia AKM Atiqur Rahman turut menafikan dakwaan penipuan itu. Katanya, pihaknya tidak menerima sebarang bukti mengenai pembabitan warganegaranya mengundi secara jahat atau salah di negara ini.

Setakat ini, belum dengar terdapat kes-kes pengundi hantu dari warganegara Bangladesh yang dilapor atau disebut di mahkamah.  Sebaliknya, terdapat beberapa laporan polis dari warganegara Malaysia yang dihalang untuk mengundi kerana dituduh sebagai warganegara Bangladesh.

Jawapan PM dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh itu sudah terlewat untuk memperbetul persepsi kerana cerita warganegara Bangladesh sebagai pengundi hantu sudah tersebar dengan begitu meluas pada hari-hari menjelang mengundi. Malah, kita dapat tonton beberapa video kes-kes rakyat Malaysia yang diherdik dan dikutuk oleh orang ramai di pusat-pusat mengundi semata-mata kerana mereka percaya pada maklumat rekaan itu.

Ia terjadi kerana cerita rekaan itu telah mencipta persepsi. Apabila persepsi telah terbentuk, maka ia amat sukar untuk diubah. Sesebuah persepsi terjadi hasil daripada maklumat yang tiba kepada seseorang. Ia melibatkan memori yang dibentuk berdasarkan kepada pengalaman panca indera. Persepsi yang terbentuk sukar disedari kerana ia berlaku di bawah sedar.  

Propaganda sebagai senjata politik yang begitu popular mudah disedari kerana ia biasanya berbentuk kempen yang sengaja melebih-lebihkan kebaikan sesuatu yang ingin diperkenalkan. Begitu juga dengan promosi dalam dunia pengiklanan. Ia biasanya disampaikan bersama bunyi, suara dan warna yang menceriakan.

Bagaimana pun, persepsi bukan ditujukan langsung kepada sesuatu sasaran. Malah ia disampaikan secara kenen, bermaksud atau secara muslihat. Ia disampaikan dalam bentuk maklumat palsu atau disinformation. Ia juga adalah suatu rekaan yang disampaikan dengan penuh logik seolah-olah ia benar hingga sesiapa yang menerimanya akan yakin ia adalah realiti.

Ia sama juga seperti bagaimana kita boleh percaya kepada fiksyen sains  filem Jurassic Park. Dengan menggunakan fakta sains sebagai maklumat benar, kisah ternakan makhluk dinosaur disampai dan diyakinkan bersama imej dan bunyi hingga kita percaya dinosaur boleh hidup di zaman ini. Sedangkan hampir mustahil untuk mendapat DNA pelbagai dinosaur dalam darah fosil nyamuk yang tersimpan berjuta tahun di dalam tanah, apatah lagi untuk menternaknya hingga berpuluh ekor bagi sesuatu spesis.

Make-believe. Itulah istilah dalam dunia karya kreatif. Ketika menonton filem itu, kita boleh terpengaruh dan terpedaya. Ia terjadi kerana ketika kita menyaksikan filem itu, fakta sains dan rekaan telah diadun begitu rupa hingga membentuk persepsi bahawa ia boleh terjadi.

Isu kononnya 40,000 warganegara Bangladesh yang dikatakan akan dibawa masuk dari Sabah dengan kapalterbang sebagai pengundi hantu adalah fakta dan rekaan yang mencipta persepsi bahawa ia akan terjadi.

Negeri ‘Sabah,’ ‘40,000 warganegara Bangladesh,’ ‘kapalterbang’ dan ‘pengundi hantu’ adalah imej-imej yang  akan terpapar di fikiran bila kita menerima maklumat ini. Imej-imej akan muncul di otak kanan iaitu otak yang berfungsi membina persepsi. Ia akan menjadi wayang di layar minda hingga kita percaya dengan maklumat rekaan ini.

Peranan otak kiri yang menggunakan logik diketepikan kerana ia dikuasai oleh emosi otak kanan. Kerana itu, bagaimana hendak menyembunyikan 40,000 orang pengundi hantu warganegara Bangladesh yang ramainya seperti jemaah Malaysia di musim haji tidak dapat dicongak oleh otak kiri untuk berlawan hujah dan menafikan persepsi yang terbentuk di otak kanan. Akhirnya begitu ramai yang percaya pada cerita rekaan itu.

Soalnya, bagaimanakah untuk meruntuhkan persepsi yang palsu itu? Jawapannya terletak kepada bagaimana semerta ia ditangani. Ertinya, apabila terbinanya sesebuah persepsi yang palsu, ia mesti diruntuhkan segera dengan maklumat yang benar. Jika dibiarkan, kita akan percaya dan hidup dalam kepalsuan persepsi. Kerana itu, selagi ada maklumat palsu lain yang membina persepsi palsu yang lain pula, ia mesti dihapuskan segera.

Benar, ia memenatkan dan tidak berkesudahan. Itulah perang namanya.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.6.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, May 28, 2013

TIGA KOMPONEN PEMBANGUNAN


Photo credit: blog.gugukpo.com
 
PEMBANGUNAN
YANG RAKYAT MAHU

SUDAH tiga minggu PRU13 berlalu. Setakat artikel ini ditulis, semua negeri sudah selesai menamakan barisan exco dan mengangkat sumpah, kecuali negeri Selangor. Semua kerajaan negeri yang terpilih sedang merangka dan mula memikul tanggungjawab memajukan negeri masing-masing.

Suasana yang semakin tenang disulami dengan himpunan Blackout 505. Walau apa pun debat yang dikemukakan, tempoh petisyen pilihanraya telahpun bermula. Mudah-mudahan, gelanggang hujah akan berpindah daripada tempat terbuka ke dalam mahkamah. Rakyat telah putuskan pihak manakah yang popular. Namun, sistem demokrasi di negara ini pula sudah menggariskan pihak manakah yang selayaknya memerintah.

Bila majoriti kerusi DUN di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor dimenangi Pakatan Rakyat, ia adalah isyarat yang pasti bahawa rakyat di negeri-negeri tersebut sudah yakin dengan pilihan mereka.   Khususnya untuk Pulau Pinang dan Selangor, mereka tidak bermaksud untuk bertukar selera sekadar hendak cuba-cuba seperti ketika mengundi pada PRU12 dahulu. Tetapi mereka secara jitu mahu PR menjadi pemerintah mereka.
Bagi negeri-negeri yang secara jelas mahukan BN semula seperti Kedah dan Perak atau negeri-negeri lain yang kekal di bawah BN, itu juga adalah keputusan rakyat. Secara keseluruhannya, ALLAH SWT yang telah menggerakkan hati-hati manusia untuk memilih kerajaan yang dikehendaki-NYA.

Justeru itu, jangan buang masa lagi. Kita kena bergerak ke hadapan, memikirkan bagaimana hendak memajukan negeri dan negara. Pertelingkahan dan polemik yang retorik hanya membuang tenaga. Andainya kita asyik bertelagah sesama sendiri, kita tidak akan menjadi gagah di mata dunia.

Kita tidak akan dipilih menjadi contoh dan rujukan negara lain dalam pelbagai bidang yang kita terokai. Dan, kita tidak akan memenangi mana-mana perlumbaan di peringkat dunia yang jauh lebih mendebar dan mencabar.

Dalam pada itu, BN yang diberi kepercayaan memerintah negara seharusnya sudah dapat menterjemah kehendak rakyat. Hakikat bahawa sokongan rakyat kepada BN di luar bandar dan juga sebahagian daripada rakyat bandar adalah kerana agenda pembangunannya.

Tetapi, pembangunan apa? Dengan lebih 200 program 1Malaysia yang dilancar dan dilaksanakan, ia sememangnya memberi manfaat kepada rakyat. Namun, ia berpaksi kepada pembangunan material, iaitu wang dan benda. BN, yang cekap mengurus ekonomi negara mampu memberi dan membangun apa sahaja.

Namun, pembangunan material semata-mata itu tidak mencukupi walau berapa banyak ia diberi dan ditabur. Seperti seorang ayah yang kaya memberi wang dan menyediakan apa sahaja yang diinginkan oleh si anak, walaupun berapa banyak pun yang diberi, jiwa mereka tidak dapat dibeli. Bila-bila masa sahaja dia akan berpaling arah. Ini adalah kerana, pembangunan material hanya satu komponen daripada pembangunan manusia. Ia hanya melahirkan keseronokan, tetapi ia tidak membahagiakan.

Seharusnya, satu lagi komponen pembangunan, iaitu pembangunan intelektual turut diberi. Rakyat yang dibangunkan melalui pendidikan sudah pandai-pandai belaka. Mereka mahu bertanya. Jika mereka tidak menemui jawapan, mereka akan mempersoal pula. Mereka sudah menjadi masyarakat madani. Nilai-nilai seperti keadilan sosial, ketelusan, ketulusan, kesaksamaan atau kesamarataan harus dibicarakan dengan terbuka.

Dialog, debat dan wacana perlu digalakkan supaya pembangunan intelektual yang didahagakan rakyat dapat dilayani. Membangunkan intelektual masyarakat secara akademik semata-mata tidak mencukupi. Bukalah ruang kepada rakyat untuk bercakap dan melaung sampai pecah anak tekak asalkan mereka tidak bertembung secara fizikal. Ia sebenarnya adalah satu bentuk makanan yang diperlukan untuk mengintelektualkan masyarakat.  

Satu lagi komponen pembangunan manusia iaitu pembangunan spiritual juga memang diperlukan. Menyediakan masjid tidak mencukupi dan memadai. Mewujudkan sekolah agama, tahfiz serta kolej dan universiti belum tentu dapat membangun jiwa mereka. Jika pembangunan material dapat dilihat, pembangunan intelektual pula dapat dihidupkan dengan penglibatan rakyat, pembangunan spiritual pula memerlukan para pemimpin sendiri mempamerkannya.

Pemimpin yang menjadi kebanggaan rakyat adalah pemimpin yang tegas, berani dan berketrampilan hebat. Pada waktu yang sama, dia juga disayangi dan dihormati rakyat kerana tawaduknya. Di atas pentas, dia berpidato dengan tangan yang terjulang, di atas sejadah dia berdoa dengan tangan yang menadah. Dari jauh, dialah pemimpin yang harus bergerak di hadapan. Bila dekat, dialah pemimpin yang akan duduk bersentuh lutut dengan rakyatnya.

BN belum dapat menterjemah pembangunan intelektual dan pembangunan spiritual seperti yang diingini oleh rakyat. Sebaliknya, PR pula handal dalam kedua-dua aspek ini. Bagaimana pun, PR pula belum pandai menterjemah pembangunan material. Kelembabapan membangun atau menyenggara prasarana masih belum dapat diurus dengan cekap. Mereka harus belajar mengurus pembangunan material daripada BN pula.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.5.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, May 21, 2013

JAWAB JANGAN TAK JAWAB



Photo credit: bloguntukdibaca.blogspot.com
 
MEMBENTUK IMEJ,
MENGEKAL PERSEPSI

PADA Ahad lalu, Sinar Harian memaparkan statistik dan rajah yang menunjukkan, meskipun PR memenangi undi popular 52 % mengatasi BN, namun bila diperincikan, PR sebenarnya hanya popular di lima negeri iaitu di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan juga Wilayah Persekutuan.

Begitu juga pada keluaran semalam, team analisa PRU13 Sinar Harian telah mendapati parti UMNO paling popular berbanding dengan parti-parti lain. Malah, ia lebih popular di Kelantan, mengatasi undi untuk Pas dan PKR. Pada hari ini, kami memaparkan pula statistik mengenai penguasaan PR ke atas kesemua ibu negeri kecuali Kangar dan Johor Bahru.

Terdapat banyak lagi kajian dan carian yang sedang kami lakukan. Kami akan cuba paparkan satu demi satu. Tetapi kami maklum, bila laporan kami memihak kepada BN, pihak yang menyokong PR berasa tersinggung. Sebaliknya, apabila laporan memihak pula kepada PR, para penyokong BN pula yang terasa. Namun, statistik adalah statistik. Kami tidak berpihak kepada BN mahupun PR. Kami hanya berpihak kepada fakta dan angka yang melalui kajian ini, menggambarkan kebenaran.

Lagi pula, kami hanya ingin memberi pencerahan untuk memperbetul persepsi kita semua. Kebenaran seharusnya membentuk persepsi sebenar terhadap sesuatu perkara. Persepsi yang salah selalunya berpaksi daripada maklumat yang tidak tepat. Persepsi dan maklumat yang tidak tepat pula akan menghasilkan tindakan yang salah. Tindakan yang salah akan mengakibatkan kegagalan.

Meskipun BN dan PR merangka strategi yang tepat berdasarkan maklumat yang betul, ada banyak juga strategi yang membawa kegagalan kerana berpandukan maklumat yang salah. Di saat-saat menjelang PRU13, DS Najib sebagai pemimpin BN menyatakan rasa yakin akan menguasai dua pertiga parlimen. DS Anwar Ibrahim sebagai pemimpin PR pula menzahirkan keyakinan akan mengambilalih pemerintahan negara.

Andainya kedua-dua pemimpin meuar-uarkannya sebagai muslihat dalam peperangan, muslihat itu telah menggagalkan strategi angkatan masing-masing apabila kedua-dua pihak, khususnya jentera pilihanraya mereka jadi khayal hingga menjadi over-confident. Pengikut turut menjadi alpa. Hasilnya, kedua-dua pihak tidak dapat sepenuhnya apa yang diimpikan.

Walau apa pun, BN yang kelihatan agak terhuyung-hayang dan kepenatan dalam menangkis segala muslihat PR menjelang PRU13 kelihatan melangkah sebaik sahaja pilihanraya berakhir. Mereka telah menubuhkan kerajaan negeri masing-masing, membariskan anggota kabinet dan sudah mula bekerja.

Sebaliknya, PR yang tampak gagah dan bergaya di saat-saat menjelang PRU13 kelihatan belum tersusun sepenuhnya hingga ke hari ini. Masih belum nampak secara terperinci apa yang akan mereka laksanakan untuk agenda negeri yang mereka kuasai. Malah, ada krisis dalaman parti mereka yang terkeluar ke khalayak ramai.

Yang jelas, apa yang dilakukan oleh BN dan PR ini menimbulkan persepsi di mata 13.26 juta rakyat yang keluar mengundi pada PRU13. Sebahagian besar daripada mereka bukan ahli mana-mana parti. Ramai yang hanya simpatisan dan golongan di atas pagar yang membuat keputusan memilih setelah mereka membuat pertimbangan berdasarkan apa yang mereka lihat dan dengar. Pertimbangan inilah yang menjelmakan persepsi.

Kerana itu, selain daripada menjaga tindak-tanduk, kedua-dua BN dan PR perlu peka untuk membentuk persepsi yang baik di mata rakyat. Di sepanjang tempoh di antara PRU12 hingga PRU13, pihak BN dilihat tidak seperti berdaya mengekang persepsi buruk yang bertali arus menyerangnya. Sebaliknya, PR pula bersifat menyerang.

Bagaimana pun, setelah PRU13 berakhir,  pemimpin BN nampaknya lebih cepat menjawab segala kritik dan manipulasi persepsi buruk yang dilemparkan ke arah mereka. Mereka tampak cergas, sentiasa bersiap siaga, menjawab dan menjawab seperti apa yang para pemimpin PR lakukan sebelum ini. Ini akan mempertahankan imej positif di mata rakyat.

Dalam mana-mana pertandingan atau perlawanan, orang yang menyaksikan akan condong untuk menyokong pihak yang nampaknya lebih kuat. Mereka ingin dikaitkan dengan pihak yang menang. Mana-mana pihak yang sentiasa awas untuk menjaga imejnya yang lebih handal akan memperoleh penyokong yang lebih ramai.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.5.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, May 14, 2013

SHARING IS CARING. SIAPA PEDULI?


 
Photo credit: anastasyea.com
 
APA SEBENARNYA YANG KITA MAHU?

PRU13 sudah seminggu berlalu. Di sebalik rekod cemerlang sebagai PRU yang paling mendapat sambutan bilamana lebih 80 peratus rakyat keluar mengundi, terdapat pelbagai isu dan persoalan yang belum terjawab sepenuhnya.

Isu rakyat Bangladesh yang kononnya diupah sebagai pengundi hantu setakat ini hanyalah rekaan. Beberapa rakaman video yang dimuat naik ke laman-laman sosial dan blog menunjukkan wajah-wajah rakyat Bangladesh yang dihalang mengundi. Ini bermakna, jika benarlah mereka pengundi hantu mereka tidak dapat mengundi kerana siang-siang lagi telah dihalau oleh rakyat Malaysia sendiri.

Ada juga wajah-wajah Bangladesh yang rupa-rupanya rakyat Malaysia. Mereka tidak peduli dituduh begitu, malah terus menjalankan tanggungjawab mengundi kerana itu hak mereka sebagai warganegara Malaysia. Ada yang diiring pihak polis untuk masuk ke tempat membuang undi. Ada di antara mereka yang membuat laporan polis kerana dihalang mengundi. Tetapi malangnya, ada juga warga Bangladesh sebenar yang pulang dari kilang diserang kerana disangka merekalah pengundi hantu.

Walau apa pun, setakat ini belum lagi ada kes warga Bangladesh yang dituduh sebagai pengundi hantu yang disebut di mana-mana mahkamah. Bila ada, dan kalau ada nanti, biar kita sama-sama ikuti perbicaraan.

Jika ada dakwaan terdapat sekitar 40,000 warga Bangladesh yang dibawa dari Sabah dan Sarawak dengan kapalterbang untuk mengundi, ia disangkal oleh PM, Datuk Seri Najib. Beliau memberi hujah, jika 40,000 orang hendak diterbangkan, sejumlah 100 kapalterbang jumbo diperlukan. Dan, tentu juga jika sebuah bas boleh memuatkan 40 orang, 1,000 bas diperlukan untuk membawa mereka dari lapangan terbang ke pusat-pusat mengundi.

Kes gangguan bekalan elektrik yang dikatakan berlaku juga tidak pasti benar atau sebaliknya. Yang sahih, pihak TNB sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada gangguan elektrik yang diadukan terjadi di mana-mana tempat mengira undi di seluruh Malaysia. Walaupun terdapat video yang menunjukkan peti-peti undi yang disuluh lampu picit, namun kita tidak tahu di manakah ia terjadi kerana tiada laporan rasmi. Kalau ada, sudah pasti, Ejen-ejen Mengira Undi yang mewakili mana-mana calon di Tempat-tempat Mengira Undi sudah membuat aduan rasmi. Setakat ini, kita belum dengar dan baca mengenai dakwaan itu dilaporkan.

Dakwat kekal juga menjadi isu. Bila pihak SPR mengatakan ia tahan lima hingga tujuh hari, ramai yang menggenyeh jari untuk membuktikan yang dakwat itu tidak kekal. Untuk apa? Untuk mempersoalkan kenyataan SPR. Sedangkan, apa yang sepatutnya diperhatikan apakah ada orang yang mengundi lebih daripada sekali.

Memang terdapat dakwaan bahawa ada mereka yang mengundi lebih daripada sekali. Hal ini dan juga segala dakwaan-dakwaan lain seperti pengundi hantu dan juga gangguan bekalan elektrik boleh sahaja dilapor kepada pihak berkuasa, langsung mencabar keputusan pilihanraya bagi kawasan-kawasan yang terlibat. Kita tunggu dan saksikan di mahkamah nanti. 

 Ketiga-tiga isu iaitu pengundi hantu warga Bangladesh, gangguan bekalan elektrik dan juga penggunaan dakwat kekal menjadi heboh dan kalut pada 5 Mei lalu berlaku kerana mob psychology. Bila beberapa orang bertempik dan berteriak penuh dramatik dan aksi mereka dirakam dan tersebar di internet, ia dipercayai sebagai benar terjadi tanpa usul periksa.

Masyarakat tidak sempat berfikir secara logik dan rasional. Sikap orang kita yang mudah percaya, ditambah pula dengan kemahiran cut & paste dan semangat ingin menjadi arm-chair hero itulah yang membuatkan segala perkara yang belum tentu betul itu tersebar luas.

Soalnya bukannya apa yang menjadi isu itu tidak mungkin berlaku, tetapi lebih baik percaya pada perkara yang benar terjadi dengan usul periksa, daripada mempercayai sesuatu tanpa usul periksa. Sharing is caring. Berkongsi itu tanda peduli. Demikian di antara catch phrase popular terkini. Tetapi berkongsi sesuatu yang belum tentu sahih itu tanda kita tidak peduli dengan perbuatan yang barangkali mempalitkan diri sebagai penyebar fitnah.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” – Al-Hujurat; 6.

Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 15.5.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, May 7, 2013

LETAK SEKEJAP PARTI KE TEPI


 
Photo credit: minniemementos.blogspot.com
 
MASA UNTUK
MERENUNG KE DALAM DIRI

MALAM 5 Mei 2013. Siangnya kita mengundi. Suasana di ibu pejabat Sinar Harian Shah Alam, sama sibuk seperti di pejabat-pejabat akhbar yang lain. Kami mencatat keputusan pilihanraya yang disampaikan melalui televisyen. Ada di antara kami mendapat maklumat melalui laman-laman web. Tidak kurang pula yang mendapat laporan segera yang disampaikan terus daripada wartawan-wartawan kami yang berada di pusat-pusat pengiraan undi di seluruh pelosok tanahair.

Sekitar jam 12.00 pagi, saya dan beberapa orang rakan sepejabat keluar sebentar untuk ngeteh di gerai mamak. Suasana di situ tidak kurang gamatnya. Kami kaget kerana pada malam itu, mamak tidak menayangkan siaran langsung EPL perlawanan bolasepak di antara Manchester United dan Chelsea. Sebaliknya mereka pun buka siaran langsung keputusan PRU13. Nampaknya penonton tidak komplen. Mata mereka terpaku di skrin besar; petanda rakyat Malaysia lebih mementingkan masa depan daripada berhibur pada malam itu.

Tatkala sedang bersembang dengan rakan-rakan, kedengaran bunyi tepukan. Kami menoleh ke skrin. Penyampai mengumumkan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan parlimen Permatang Pauh. ‘Wah, ramainya penyokong Anwar dan PR kat sini!’ detik hati saya sambil memerhati ramai yang berdiri sambil bertepuk tangan.

Perbualan kami disambung. Tidak lama kemudian, perhatian kami teralih semula apabila kedengaran lagi sorakan para pelanggan. Kami menoleh kembali ke skrin besar. Terpapar wajah Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang mengumumkan BN telah mencapai kemenangan mudah dengan 112 kerusi. Penonton kelihatan gembira seperti juga ketika menerima  pengumuman kemenangan kerusi Permatang Pauh sebentar tadi. ‘Rakyat dah terima demokrasi kerana sokong sesiapa sahaja yang menang,’ kata hati saya.

Apabila kita mendaftar sebagai pengundi, ia petanda bahawa kita menerima demokrasi di bawah sistem parlimen Malaysia. Bila kita pergi mengundi setelah tiba waktunya, ertinya percaya dengan perjalanan proses pilihanraya dan juga keputusannya. Jika calon yang kita pilih itu menang, kita akan gembira. Sebaliknya apabila calon yang tidak kita pilih itu menang, kita mesti terima dengan hati terbuka.

Kita kenalah terima bahawa calon yang kita mati-mati tidak suka itu akhirnya diumumkan sebagai pemenang. Jika kita punyai kepercayaan bahawa calon yang kita sokong itu akan memperjuangkan nasib dan masa depan kita, kita kenalah menghormati calon yang lebih dipercayai oleh lebih ramai pengundi. Mustahil lebih ramai yang tidak cerdik dari kita kerana memilih calon yang tidak boleh membela masa depan rakyat.

Begitu jugalah dengan penyokong dan pemimpin parti politik sendiri. Yang kalah mestilah menghormati yang menang. Yang menang mesti pula menjaga hati yang kalah. Baharulah gentleman. Jika ada pihak yang tidak selesa dengan mandat rakyat yang diberi kepada BN memerintah negara, ada juga pihak lain yang tidak selesa bila mandat rakyat masih diberikan kepada PR untuk memerintah, contohnya negeri Selangor.

Jika kita menerima UMNO sebagai pembela masa depan negara, kita kena hormati mereka yang memilih Pas untuk membela masa depan kita semua. Jika penyokong Pas melihat Dap itu rakan politik yang boleh dipercayai, mereka harus hormati penyokong UMNO yang melihat MCA atau Gerakan sebagai rakan politik yang boleh diharap.

Kita tidak boleh menang kesemuanya dan kita juga mustahil akan kalah semuanya. Sebabnya, ada berjuta pengundi yang terlibat untuk memilih siapa atau parti mana yang mereka mahu. Mana mungkin berjuta yang lain kesemuanya silap kerana tidak mengikut citarasa kita?

Bila pilihanraya sudah selesai, memanifestasikan bantahan di merata-rata tempat awam hanya membuang masa. Seolah-olah, kita menafikan kebijaksanaan kita yang mengambil jalan memilih pemimpin dan parti melalui cara mengundi. Tentu sekali seandainya terdapat andaian penipuan, penyelewengan dan kesilapan, ia boleh laporkan sahaja ke pihak yang bertanggungjawab dan cabar keputusan mana-mana parlimen atau DUN di mahkamah.

‘Ini Kalilah’ sudah menjadi ‘Lain Kalilah’ untuk kedua-dua pihak. Terimalah hakikat ini. Dalam keghairahan kita menggapai kemenangan, terlalu banyak dosa lidah yang terlontar. Terlalu banyak dosa fitnah yang telah tersebar. Dalam pada kita bermuhasabah mengenai kekalahan parti yang kita terajui atau yang kita sokong, jangan lupa bermuhasabah untuk diri sendiri.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar HArian pada 8.5.2013, insya-ALLAH...